AS Perlu Papar Keikhlasan Hulur Bantuan
Sidang Kemuncak Amerika Syarikat (AS)-Negara Kepulauan Pasifik edisi pertama diadakan di Washington pada 28 hingga 29 September.
Presiden Joe Biden mendakwa sidang itu bertujuan mengukuhkan hubungan kedua-dua pihak, di samping mengumumkan bantuan tambahan bernilai USD810 juta (RM3.75 bilion) kepada negara-negara terbabit bagi memperkasa kerjasama dalam bidang perubahan iklim dan ekonomi marin.
Mengulas sidang kemuncak itu, media Jerman berkata Washington sebenarnya berniat menentang pengaruh China yang semakin kuat di rantau Pasifik.
Bagi negara kepulauan Pasifik, yang paling diperlukan buat masa ini adalah bantuan substantif yang sejajar dengan keperluan pembangunan mereka sendiri, bukanlah janji lisan dan cubaan melobi untuk menyekat China.
Sekiranya AS benar-benar ingin membantu, ia mesti memastikan bantuan berupa wang tunai yang dijanjikan sampai ke tangan negara kepulauan Pasifik.
Siasatan mendapati lebih satu pertiga daripada bantuan kewangan yang kononnya dihulurkan AS kepada negara di rantau Asia Barat, Amerika Latin dan ASEAN telah 'dikembalikan' ke beberapa agensi bantuan AS dengan pelbagai jenis dalih. Dana sebenar yang diterima negara-negara berkenaan adalah sangat terhad.
Selain itu, AS mesti menjadikan dirinya sebagai teladan dalam usaha mengatasi perubahan iklim serta mengambil tindakan praktikal bagi melindungi persekitaran laut.
Lebih penting lagi, AS harus melihat negara kepulauan Pasifik sebagai rakan kongsi, bukannya buah catur dalam mainan geopolitik.
AS mesti menghormati sepenuhnya kedaulatan dan kehendak negara kepulauan Pasifik, tidak melampirkan syarat politik, tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga, dan tidak melakukan pertentangan geopolitik atas nama kerjasama.
AS seharusnya memaparkan keikhlasan dan kejujuran apabila menyalurkan bantuan kepada negara kepulauan Pasifik, bukannya motif tersembunyi.