Laluan Keretapi China-Laos Bantu TDA Tingkat Eksport Durian

2022-10-05 15:24:02  CRI
Share with:

Thailand akan meningkatkan eksport buah durian segar kepada China melalui kereta api, menurut Persatuan Durian Thai (TDA).

Presiden TDA Phanusak Saiphanich menyatakan, perkhidmatan kereta api China-Laos merupakan antara pilihan utama pengeksport durian di negara Gajah Putih itu untuk mengendalikan penghantaran buah berkenaan ke China.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah buah-buahan yang dieksport ke China terus meningkat, dan masa pengangkutan yang singkat antara faktor terpenting untuk memastikan tahap kesegaran.

“Dulu, penghantaran selalu dikendalikan menerusi laluan darat dan urusan pelepasan kastam biasanya di pintu keluar masuk Dongxing, Youyiguan, Pingxiang di wilayah Guangxi.

“Kini, tiga tempat itu terlalu sibuk menguruskan buah-buahan diimport dari Vietnam, jadi kami beralih kepada pintu keluar masuk Mohan di Yunnan, dan menambah perkhidmatan menerusi laluan air dan udara,” kata Phanusak.

Beliau turut berkata, pihaknya akan memanfaatkan perkhidmatan kereta api China-Laos yang baru beroperasi untuk memendekkan masa penghantaran, memandangkan jumlah pengeluaran buah berduri itu dijangka terus meningkat pada tahun hadapan.

Thailand antara pengeluar dan pengeksport durian terbesar dunia, dengan jumlah output melepasi sejuta tan setiap tahun, antaranya lebih 80 peratus yang dipasarkan ke China.

Aktiviti perdagangan antara Thailand dengan China membabitkan buah segar menikmati status bebas tarif di bawah rangka Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).