Dialog Satu-satunya Jalan Penyelesaian Isu Semenanjung Korea: Duta China

2022-10-06 13:21:07  CRI
Share with:

Dialog dan perundingan merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi isu Semenanjung Korea, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang.

Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat terbuka sementara pada Rabu susulan pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana oleh Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK).

Geng ketika berucap dalam mesyuarat itu berkata, China mengambil tahu aktiviti pelancaran DPRK itu dan juga latihan ketenteraan bersama yang kerap kali dijalankan sesetengah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) di kawasan serantau mutakhir ini.

Duta itu menyatakan, amalan AS bagi memperkukuh ikatan sekutunya di rantau Asia Pasifik meningkatkan risiko konfrontasi ketenteraan.

“Pengalaman dari sejarah memperlihatkan bahawa dialog dan perundingan merupakan satu-satunya jalan keluar bagi isu Semenanjung Korea.

“Sekiranya dialog berjalan lancar, situasi semenanjung itu akan menjadi stabil, manakala jika dialog terbantut atau berpatah balik ke belakang, situasinya akan meruncing,” kata Geng.

Beliau turut menggesa AS menunjukkan keikhlasan menerusi tindakan praktikal agar menyediakan syarat kondusif untuk memulihkan dialog.