PMI Pembuatan Global Susut ke Paras Terendah: CFLP

2022-10-06 13:44:30  CRI
Share with:

Pembuatan global buat kali pertama jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih dua tahun, sekali gus meningkatkan risiko ketidaktentuan dalam rantaian perindustrian sejagat.

Persekutuan Logistik dan Pembelian China (CFLP) berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan global merosot selama empat bulan berturut-turut, dan ekonomi global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan.

Menurut persekutuan itu, PMI pembuatan global mencatatkan 50.3 peratus pada September, menguncup 0.6 mata peratusan berbanding bulan sebelumnya.

Difahamkan, pada bulan September, sektor pembuatan Eropah dan Amerika menyaksikan keseluruhan keadaan operasi yang perlahan, dengan PMI kekal susut; manakala PMI Afrika menurun ke paras 50 peratus ke bawah daripada prestasi dicatat bulan Ogos yang melepasi paras 50 peratus.

Di Asia pula, pertumbuhan sektor pembuatan kekal mantap secara relatifnya, yang PMInya mencatatkan sedikit peningkatan berbanding Ogos.

Ahli ekonomi dari Persatuan Sains Polisi China (CAPS) Xu Hongcai turut menyatakan, angka terkini itu mencerminkan ancaman kemelesetan ekonomi global semakin meningkat.

“Kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat baru-baru ini membawa kesan limpahan negatif ke atas sistem kewangan global, terutamanya sesetengah entiti ekonomi baru muncul yang terkena impak teruk.

“Keadaan ekonomi global kini tidak menentu, menyebabkan berlakunya risiko stagflasi global dan kemelesetan ekonomi semakin meningkat,” kata Xu.

Menurut pakar berkenaan, kos operasi ekonomi global semakin bertambah, menyusuli kesan limpahan akibat kenaikan kadar faedah oleh Fed, krisis tenaga ekoran konflik geopolitik serta pandemik yang masih belum reda.

Kesemua unsur tersebut menyumbang kepada ketidakstabilan rantaian perindustrian global dan membantutkan usaha dunia menuju ke arah rejuvenasi ekonomi.