Apa Itu GDI?

2022-10-12 15:29:46  CRI
Share with:

Sejak akhir-akhir ini,  pelbagai negara terpaksa menyahut cabaran baharu dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ekoran penularan pandemik COVID-19, pergolakan senario politik global yang tiada tolok bandingnya dalam seabad lalu, dan pemulihan ekonomi sedunia yang tidak seimbang.

Mendepani situasi semasa  sedemikian, Presiden China, Xi Jinping telah mengemukakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) pada sesi perdebatan umum Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu  (UNGA) Ke-76 pada 21 September 2021. Kata beliau, pembangunan adalah kunci untuk  membawa kebahagiaan kepada rakyat. Kita hendaklah mendorong pembangunan global  ke arah yang lebih seimbang, selaras dan inklusif.

GDI yang berteraskan pembangunan dan berpaksikan rakyat itu menjunjung tinggi prinsip-prinsip seperti  inklusif, untuk kebajikan umum, terpicu inovasi dan simbiosis umat manusia  dengan alam sekitar dalam suasana harmoni. Tumpuannya melibatkan kerjasama dalam  pembanterasan kemiskinan, keselamatan bijirin, penangkisan wabak dan penghasilan vaksin COVID-19, pembiayaan untuk pembangunan, perubahan iklim dan pembangunan hijau, pengindustrian, ekonomi digital dan kesalinghubungan, sedangkan  matlamatnya adalah untuk mempercepat pelaksanaan agenda terbabit dan membentuk komuniti berkongsi nasib pembangunan  global.

Pada telesidang Forum  Ekonomi Dunia 2022, Xi menekankan lagi, GDI yang mudah diakses seluruh dunia bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan agenda PBB dan mendorong pembangunan bersama. China bersedia berganding bahu dengan semua pihak dalam pelaksanaan inisiatif itu, dan berusaha memastikan tiada satu negara pun ketinggalan dalam  mengikuti jejaknya.

Ketika mempengerusikan Dialog Peringkat Tinggi Pembangunan Global pada 24 Jun 2022 , Xi menyarankan agar mengukuhkan persepakatan antarabangsa, membangunkan persekitaran  antarabangsa yang kondusif, memupuk penjana baharu pembangunan global, dan menjalin hubungan rakan pembangunan global.

Sementara itu, Setiausaha  Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pihaknya menyokong GDI dan bersedia bersama dengan pelbagai negara mendorong pelaksanaan inisiatif itu.