China Sokong PBB dan AU Tingkatkan Tahap Kerjasama

2022-10-12 13:07:03  CRI
Share with:

China mengalu-alukan dan menyokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika (AU) meningkatkan lagi tahap kerjasama supaya dapat menggalakkan pembangunan Afrika secara damai. Naib wakil tetap China ke PBB, Dai Bing berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sidang terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai “kerjasama PBB dengan Afrika”.

Dai menyatakan bahawa China menyokong kerjasama kedua-dua pihak ditingkatkan dengan melibatkan usaha memelihara kedamaian dan keselamatan Afrika, memperhebat kemampuan Afrika, menggalakkan pembangunan mampan di Afrika dan mendorong pembaharuan tadbir urus antarabangsa.

Kata Dai, pelbagai masalah yang wujud di Afrika sejak sekian lama seperti kegiatan keganasan, pemerdagangan senjata, keselamatan maritim dan kesihatan awam, menjadi semakin serius, malah menjadi cabaran yang memerlukan sinergi PBB, AU dan negara serantau untuk menanganinya bersama-sama.   

PBB dikehendaki mengagihkan sumber dan tenaga milik pasukan pengamannya kepada sektor dan penduduk tempatan yang betul-betul memerlukannya di negara-negara Afrika yang terbabit. China menyokong warga Afrika menyandang jawatan wakil khas Setiausaha Agung PBB bagi Masalah Utama Afrika, dan UNSC juga diharap menyokong lebih banyak negara anggotanya dari Afrika diberi peluang menjadi negara penulis tentang masalah Afrika.

Dai berkata, China bersama-sama negara Afrika telah mengadakan sidang peringkat menteri “Kumpulan Sahabat Inisiatif Pembangunan Sejagat” sempena minggu sidang peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB. Dalam sidang itu, China telah mengumumkan tujuh langkah substantif demi membantu negara Afrika meneroka lebih banyak sumber untuk mewujudkan pembangunan lestari.

Menurut Dai, pendirian China untuk menyokong negara Afrika dan PBB adalah konsisten, dan negara ini sudi memberikan lebih banyak sumbangan untuk kedamaian Afrika yang berkekalan dan pembangunan bersama.