China, Maldives Sambut Jubli Emas Ikatan Diplomatik

2022-10-14 17:07:34  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Maldives, Ibrahim Mohamed Solih saling mengirim perutusan tahniah sempena jubli emas ikatan diplomatik kedua-dua negara.

Xi menyatakan China dan Maldives sentiasa saling menghormati dan menyokong satu sama lain dalam tempoh lima dekad lalu, hingga menjadi contoh baik layanan sama rata dan situasi saling untung antara negara besar dan kecil.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara berganding bahu dan saling membantu untuk merungkai cabaran akibat pandemik COVID-19, memperdalam kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memelihara dan menggalakkan multilateralisme jitu.

Beliau turut menyuarakan komitmen untuk berusaha bersama Presiden Solih bagi memantapkan lagi perkongsian kerjasama muhibah komprehensif yang berorientasikan masa depan demi limpahan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Solih pula berkata, hubungan Maldives-China dijalin bersandarkan asas dari segi sejarah serta prinsip kesamarataan dan saling hormat. Ia juga berasaskan pegangan teguh Maldives terhadap prinsip satu China.

Menurut beliau, China telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan sosioekonomi dan kebudayaan Maldives.

Beliau yakin hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara akan terus diperdalam dan diperluas.