China Konsisten Bantah Amalan Politikkan Isu Ekonomi

2022-10-14 12:37:52  CRI
Share with:

China sentiasa konsisten dalam pendirian menentang isu ekonomi dan perdagangan dipolitikkan dan dijadikan senjata, tegas jurucakap Kementerian Luar Mao Ning.

Rabu lalu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Janet Yellen mendakwa negaranya mesti menghalang China daripada menjadikan perdagangan sebagai senjata.

Sehubungan itu, Mao membalas bahawa China komited untuk memelihara liberalisasi dan pemudahan perdagangan sejagat, serta kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global.

"Tindakan unilateral dan faham perlindungan yang diamalkan segelintir negara menyebabkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa terbantut,” katanya semasa sesi taklimat pada Khamis.

Beliau turut menggesa pihak-pihak terbabit mengetepikan amalan seumpama, dan bersinergi dengan masyarakat antarabangsa bagi memastikan keselamatan serta kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan, sekali gus memantapkan sistem, peraturan dan asas ekonomi dunia.