Xi Hurai Tiga Peristiwa Terpenting Sedekad Lalu

2022-10-16 13:34:41  CRI
Share with:

Tempoh sepuluh tahun lalu menyaksikan berlakunya tiga peristiwa penting yang besar maknanya buat parti pemerintah dan rakyat, kata Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping.

Xi memberi penjelasan lanjut berhubung tiga peristiwa itu antaranya sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan PKC, sosialisme bercirikan China yang memasuki era baharu, serta tercapainya Matlamat 100 Tahun Pertama apabila kejayaan diraih dalam membasmi kemiskinan mutlak dan mewujudkan masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh.

Semasa sesi perasmian Kongres Kebangsaan ke-20 PKC di Beijing pagi tadi, beliau menegaskan, kesemua prestasi itu merupakan kemenangan bersejarah yang diperoleh PKC dan rakyat menerusi perjuangan sejati.

Menurutnya, ia bersinar dalam sejarah pembangunan nusa dan bangsa China, di samping mempunyai pengaruh yang sangat besar di peringkat global.

Dalam tempoh sedekad lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China menokok kepada 114 trilion yuan daripada 54 trilion yuan.

Manakala, agregat ekonominya menduduki tempat kedua di dunia, dengan menyumbang 18.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi dunia, peningkatan sebanyak 7.2 mata peratusan.

Xi menambah, China menjadi rakan dagang utama bagi lebih 140 negara dan wilayah.

Selain terdepan dari segi nilai perdagangan barangan, negara Tembok Besar ini juga menduduki tempat teratas dalam menarik pelaburan asing dan menanam modal di luar negeri, sehingga mewujudkan landskap keterbukaan dalam lingkungan yang lebih besar, bidang yang lebih luas dan tahap yang lebih mendalam.