Xi Bentang Laporan dalam Kongres Kebangsaan ke-20 PKC

2022-10-16 17:45:39  CRI
Share with:

Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) membuka tirai di Dewan Besar Rakyat di Beijing hari ini.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping mewakili Jawatankuasa Pusat ke-19 membentangkan laporan dalam kongres itu.

Laporan itu telah merumuskan kerja-kerja PKC dalam tempoh lima tahun lalu serta perubahan signifikan yang dialami China dalam era baharu sejak sedekad lalu.

Laporan itu turut menjelaskan misi dan tugasan yang digalas PKC pada fasa seterusnya iaitu memimpin rakyat ke arah merealisasikan Matlamat 100 Tahun Kedua untuk membangunkan China sebagai negara sosialis moden yang kuat, dan memacu kebangkitan bangsa secara menyeluruh menerusi modenisasi ala China.

PKC menetapkan dua Matlamat 100 Tahun untuk pembangunan negara. Antaranya Matlamat 100 Tahun Pertama iaitu pembangunan masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh telah direalisasikan pada 2021 bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan PKC.

Menurut laporan itu, lima tahun akan datang merupakan tempoh penting bagi memulakan usaha baharu ke arah pembangunan negara sosialis moden secara menyeluruh.

Laporan itu mengemukakan idea, strategi dan pendekatan baharu untuk merealisasikan Matlamat 100 Tahun Kedua menjelang pertengahan abad ke-21.

Ia merangkumi pelbagai aspek antaranya pembangunan berkualiti, pembangunan modal insan, jaminan kedudukan rakyat sebagai tuan negara, pemerkasaan tadbir urus negara di sisi undang-undang, penambahbaikan kehidupan rakyat, simbiosis antara manusia dan alam, pemeliharaan keselamatan negara dan ketenteraman sosial, serta pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Dijadual berlangsung dari 16 hingga 22 Oktober, kongres berkenaan dihadiri lebih 2,300 wakil Kongres Kebangsaan ke-20 PKC dan wakil jemputan khas serta tokoh-tokoh bukan anggota PKC.
Kongres itu akan mendengar dan meneliti laporan Jawatankuasa Pusat ke-19, meneliti laporan kerja Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-19, membahas dan meluluskan pindaan Piagam PKC, serta memilih Jawatankuasa Pusat ke-20 dan Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-20.PKC yang bersejarah 101 tahun menjalankan pentadbiran secara berterusan selama 73 tahun sejak penubuhan Republik Rakyat China.
Kongres Kebangsaan PKC diadakan lima tahun sekali.