China Kekal Destinasi Pelaburan Hangat

2022-10-16 00:20:11  CRI
Share with:


Jurucakap Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC), Sun Yeli petang semalam di Beijing menyatakan bahawa dasar pintu terbuka merupakan salah satu garis panduan utama bagi negara China. Tak kira apa-apa pun perubahan yang berlaku di dunia, China tidak akan mengubah keputusan dan keazamannya dalam membuka pintu kepada luar, malah akan terus meningkatkan tahap keterbukaan dengan skala yang lebih besar, bidang yang lebih luas dan secara lebih mendalam. Oleh itu, China kekal destinasi pelaburan yang hangat.

Menyentuh tentang pembentukan paradigma pembangunan baharu dan pemantauan terhadap wahana internet, Sun berkata, China sebagai negara yang memartabatkan penguatkuasaan undang-undang, komited memastikan semua modal terpelihara, baik modal milik negara mahupun milik swasta, baik modal domestik mahupun modal asing.

Menurut Sun, China bakal membentuk paradigma pembangunan baharu yang mengutamakan kitaran domestik di samping mendorong kitaran domestik-antarabangsa. Namun, ini bukan bermakna China akan menumpu kepada operasi ekonomi yang tertutup, melainkan akan berusaha memicu kesalinghubungan antara pasaran domestik dengan pasaran antarabangsa dengan lebih baik melalui penerokaan potensi permintaan domestik.

 

Makanan import dari Jerman mendapat sambutan baik dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) yang pertama pada 2018.

Landasan kereta api China-Laos yang menghubungkan Kunming, China dengan Vientiane, Laos mula beroperasi pada 3 Disember 2021.

 

Sun berkata, China giat mengorak langkah dalam pelaksanaan dasar pintu terbuka pada beberapa tahun kebelakangan ini, misalnya mengeluarkan dan secara aktif mendorong pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menandatangani dan melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), sedang meningkatkan usaha untuk menganggotai sejumlah perjanjian ekonomi dan perdagangan multilateral, dan berjaya menganjurkan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) sebanyak empat edisi yang memperlihatkan sikap inisiatifnya untuk membuka pasaran domestik kepada dunia luar.