Xi: Isu Taiwan, Urusan Rakyat China Sendiri

2022-10-16 15:14:40  CRI
Share with:

Isu Taiwan merupakan urusan rakyat China sendiri dan mesti ditangani rakyat negara ini.

Demikian ditegaskan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping ketika membentangkan laporan dalam Kongres Kebangsaan ke-20 PKC hari ini.

Beliau berkata China akan terus berjuang ke arah penyatuan semula secara damai dengan penuh keikhlasan menerusi usaha sehabis baik, namun tidak akan membuat sebarang janji untuk melepaskan penggunaan kekerasan, dan mengekalkan pilihan untuk mengambil segala tindakan yang perlu. 

Tambah beliau, ia adalah menyasar kuasa asing yang campur tangan dan segelintir pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’, bukannya saudara setanah air di Taiwan.

Beliau turut menegaskan China mengamalkan dasar luar yang damai dan bebas, dan menentukan pendirian dan dasar sendiri berdasarkan merit.

China berusaha memelihara norma asas hubungan antarabangsa, mempertahankan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa, di samping tegas menentang amalan hegemoni dan politik kuasa dalam apa jua bentuk.

Selain itu, China menolak mentaliti Perang Dingin dan tindakan mencampuri urusan dalaman negara lain serta amalan dwistandard.

Tegas beliau lagi, China tidak akan mengejar kedudukan hegemoni ataupun meluaskan lingkungan pengaruhnya di dunia.