Pembangunan Berkualiti Diutamakan di Serata China
Jurucakap delegasi dari tujuh bandar, provinsi dan wilayah yang menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-20 Parti Komunis China (PKC) menjawab pertanyaan wartawan dalam temu bual secara beramai-ramai yang diadakan buat kali keempat di Pusat Media pada Rabu.
Jurucakap delegasi provinsi Sichuan yang juga Anggota Tetap dan Ketua Jabatan Seranta Jawatankuasa Provinsi Sichuan PKC, Zheng Li berkata, provinsi Sichuan menggalakkan pembangunan berkualiti yang terpicu inovasi dan berjaya menjadi lubuk industri sains dan teknologi strategik yang penting di peringkat kebangsaan. Selain itu, industri tempatan berkembang mantap ke tahap sederhana dan tinggi berkat bertambahnya elemen inovatif. Menurutnya, provinsi itu akan meningkatkan usaha dalam mengamalkan konsep pembangunan baharu secara utuh, tepat dan menyeluruh bagi melakar pencapaian baharu pada masa akan datang.
Ketika menjawab pertanyaan berhubung landasan kereta api China-Laos, jurucakap delegasi provinsi Yunnan yang juga Naib Setiausaha Jawatankuasa Provinsi Yunnan PKC, Shi Yugang berkata, pencapaian yang cemerlang dan peningkatan kecekapan yang ketara, beserta ekonomi di kawasan sepanjang laluan yang menjadi semakin dinamik dapat disaksikan setelah landasan kereta api yang dianggap sebagai projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) usaha sama China-Laos tersebut beroperasi.
Jurucakap delegasi wilayah Tibet yang juga Naib Setiausaha Tetap Jawatankuasa Wilayah Tibet PKC, Zhuang Yan berkata, pihaknya bukan sahaja berusaha untuk membentuk zon contoh perpaduan dan kemajuan masyarakat berbilang etnik peringkat negara dan zon perintis pertumbuhan ekonomi berkualiti dataran tinggi, tetapi juga berusaha menyuburkan tamadun ekologi yang bercirikan dataran tinggi dan zon demonstrasi peringkat kebangsaan berhubung pembangunan kawasan sempadan serta penjanaan pendapatan rakyat.