Persiapan Pelancaran Modul Eksperimen Mengtian Dipergiat

2022-10-24 13:29:50  CRI
Share with:

Modul eksperimen kedua stesen angkasa China, Mengtian akan dilancarkan bulan ini mengikut pelan pembinaan stesen angkasa lepas China.

Pelbagai persiapan dan ujian berkaitan sedang dilaksanakan untuk memastikan tugasan pembinaan stesen angkasa dapat selesai seperti yang dijadualkan.

Mutakhir ini, kru kapal angkasa Shenzhou-14 yang terdiri daripada tiga angkasawan menjalankan penyelenggaraan secara teliti terhadap kompleks stesen angkasa sebagai persediaan untuk menyambut ketibaan modul eksperimen Mengtian.

Kini, ketiga-tiga angkawasan telah bertugas di ruang angkasa lepas selama lebih empat bulan dan berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik.

Pada masa sama, ujian bagi dua roket pembawa dan dua modul yang mengendalikan pelancaran Mengtian dan kapal kargo Tianzhou-5 turut dilakukan secara serentak di tapak pelancaran Wenchang, provinsi Hainan.

Komander yang bertugas di tapak pelancaran modul eksperimen Mengtian, Liao Guorui memberitahu, roket pembawa Long March 5B Yao-4 telah melengkapkan ujian subsistem dan dua pemeriksaan am pada peringkat awal.

Manakala, pemeriksaan am bersama modul dan roket akan diselesaikan pada fasa seterusnya.

Buat masa ini, persiapan bagi tugas pelancaran dan kitar semula kapal angkasa turut sedang dijalankan di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di provinsi Gansu, sementara misi pelancaran kapal angkasa Shenzhou-15 telah memasuki fasa persediaan secara menyeluruh.

Difahamkan, sistem telemetri, pengesanan dan perintah (TT&C) dan komunikasi beroperasi sepanjang masa untuk memastikan operasi stesen angkasa yang selamat dan stabil.

Kru Shenzhou-15 sedang mempergiat latihan berkenaan, dan pelbagai eksperimen saintifik di ruang angkasa digerakkan dengan mantap.