China Takkan 'Eksport' Model Pembangunan Sendiri

2022-10-25 15:04:58  CRI
Share with:

China menentang negara lain memaksanya menerima pakai model pembangunan mereka, dan takkan ‘mengeksport’ model pembangunan sendiri mahupun menuntut negara lain meniru amalannya.

Demikian dinyatakan Naib Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Sun Yeli dalam taklimat media pada Isnin.

Kata beliau, China berbesar hati untuk berkongsi sekiranya masyarakat antarabangsa mahu mengetahui dan menimba pengalaman serta praktik negara itu.

Pada masa sama, Sun berkata China juga ikhlas dalam menyelidik dan mempelajari pengalaman negara-negara lain.

“Usaha setiap negara untuk meneroka jalan modenisasi yang selaras dengan keadaan sendiri perlu dihormati,” katanya.

Sun berkata, modenisasi ala China mengandungi elemen-elemen yang wujud dalam proses pemodenan semua negara, di samping menonjolkan keunikannya berdasarkan keadaan negara sendiri.

Menurut laporan Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC), pembentukan paradigma pembangunan baharu perlu dipercepat dengan mengambil kitaran domestik sebagai tonggak utama di samping kitaran domestik dan kitaran antarabangsa saling menggalakkan.

Selain itu, China juga komited untuk terus memacu pembangunan demi menyediakan peluang baharu kepada dunia dan menggalakkan ekonomi dunia yang terbuka demi membawa limpahan manfaat kepada rakyat semua negara.