Washington Diseru Batalkan Sekatan Demi Bantu Afrika

2022-10-27 12:20:59  CRI
Share with:

25 Oktober ialah Hari Antisekatan yang ditetapkan oleh Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC). Beberapa negara Afrika sekali lagi menggesa Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat supaya menarik balik sekatan ke atas Zimbabwe.

Tidak lama dahulu, Presiden Namibia, Hage Geingob semasa berucap pada perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengutuk keras sekatan haram oleh AS dan negara Barat dalam jangka masa panjang. Beliau mengatakan bahawa Zimbabwe harus dibebaskan daripada sekatan dan memperoleh peluang untuk membangun. Kenyataan beliau mendapat reaksi hangat daripada masyarakat antarabangsa.

AS telah mengenakan sekatan sepihak ke atas Zimbabwe selama lebih 20 tahun. Menurut statistik, Zimbabwe mengalami kerugian ekonomi berjumlah sekurang-kurangnya USD40 bilion akibat sekatan daripada negara luar. Padahal, sekatan AS ke atas Zimbabwe hanyalah mikrokosmos campur tangan kuasa terbesar di dunia itu terhadap hal ehwal dalaman negara-negara Afrika bagi jangka masa panjang.

Pada masa ini, risiko keselamatan makanan dan tenaga semakin meningkat akibat krisis Ukraine yang bertambah meruncing. Ini turut membawa cabaran besar kepada negara-negara Afrika yang berusaha mewujudkan pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, negara Barat pimpinan AS bukan sahaja tidak mengambil berat terhadap masalah pembangunan yang dihadapi negara Afrika, malah memperhebat sekatannya dan memaksa negara Afrika memilih pihak. Tindakan ini bagaikan tambah minyak ke dalam api.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Joe Biden pada musim panas lalu mengumumkan bahawa sidang kemuncak pemimpin AS-Afrika akan diadakan di Washington pada pertengahan Disember untuk "menyerlahkan komitmen berterusan AS kepada Afrika", "memaparkan pentingnya hubungan AS-Afrika", dan "mempergiat kerjasama dalam perkara keutamaan global."

Adakah AS benar-benar mahu membantu Afrika, atau ia hanyalah cakap kosong sekali lagi? Jika ingin menjalankan kerjasama, Washington patut menarik balik sekatannya terlebih dahulu.