AIIB Komited Pacu Kolaborasi dan Kesalinghubungan Serantau

2022-10-27 15:39:01  CRI
Share with:

Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) komited untuk memacu kolaborasi dan kesalinghubungan serantau, di samping membantu anggotanya mewujudkan pembangunan hijau. 

Presiden AIIB Jin Liqun berkata sejak beroperasi tujuh tahun lalu, AIIB sentiasa mengikut piawaian antarabangsa dan standard tinggi serta mempraktikkan multilateralisme secara berterusan hingga mencapai perkembangan mantap dan pesat dalam pelbagai aspek.

“Kami (AIIB) menjadi lebih berdaya tahan selepas mengharungi pelbagai kesulitan dan cabaran sepanjang tujuh tahun lalu.

"Kami akan terus berusaha untuk membina dunia yang mampan dari segi kewangan, masyarakat, alam sekitar dan ekonomi,” katanya ketika berucap dalam sidang tahunan ketujuh Lembaga Gabenor AIIB yang berlangsung secara maya pada Rabu.

Bertemakan ‘Infrastruktur Mampan ke Arah Dunia Saling Hubung’, sidang itu memfokuskan peranan penting pembangunan prasarana dalam menggalakkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, serta mempertingkat kesalinghubunganan rentas sempadan.

AIIB, sebuah institusi multilateral antarabangsa model baharu yang ditubuhkan atas inisiatif China, kini memiliki 105 anggota dari enam benua.

Untuk rekod, bank itu telah meluluskan sebanyak 191 projek membabitkan pelaburan melepasi AS$85 bilion (RM400.54 bilion) sepanjang tujuh tahun lalu.