China Meniti Perjalanan Baharu: Ong Tee Keat

2022-10-28 12:59:04  CRI
Share with:

Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) merupakan satu peristiwa penting dalam membentuk semula dunia, sekali gus menunjukkan betapa besarnya pengaruh negara itu di persada dunia.

Demikian ujar Pengerusi Centre for New Inclusive Asia (CNIA) Tan Sri Ong Tee Keat dalam tulisannya kepada Kumpulan Media China (CMG), baru-baru ini.

Menurut Ong, dalam tempoh 10 tahun lalu, peranan penting yang dimainkan China di peringkat global semakin meningkat menerusi penglibatan aktifnya dalam pertubuhan antarabangsa dan penempatan anggota tentera dalam misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Negara itu berkembang daripada sekadar pengikut pasif orde dunia yang sedia ada kepada pembela teguh kerjasama antarabangsa pelbagai hala berasaskan Piagam PBB.

“Ciri tadbir urus China di bawah kepimpinan PKC lebih menonjol apabila negara itu proaktif menawarkan penyelesaian kepada isu-isu yang menjadi kebimbangan manusia,” ujar beliau.

Ong berkata, kejayaan signifikan dicatat China dalam membasmi kemiskinan mutlak menjadikannya model yang dicontohi dalam usaha global ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan PBB menjelang 2030.

“China berjaya mencapai sasaran sepuluh tahun lebih awal daripada jadual ditetapkan dalam agenda PBB.

“Tanpa komitmen PKC dalam melaksanakan dasar mengutamakan rakyat, ia mustahil direalisasikan,” tambah beliau.

Ong turut berpandangan bahawa Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada dasarnya telah membentuk semula landskap ketersambungan global, terutamanya melalui pembangunan infrastruktur di Selatan Global.

“Model ketersambungan bersifat inklusif dan simbiotik yang didorong oleh kolaborasi, buat pertama kalinya memperkenalkan formula China ke peringkat global,” ulasnya lanjut.

Ong turut memuji China kerana memainkan peranan dengan penuh bertanggungjawab di persada dunia.

“Demi visi komuniti berkongsi nasib sesama insan, pelancaran dua inisiatif, iaitu Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global antara contoh yang baik.

“Ia mempamerkan komitmen China untuk membekalkan lebih banyak produk awam kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Dari perspektif global, Ong memberitahu bahawa usaha menterjemahkan visi Presiden Xi Jinping mengenai komuniti berkongsi nasib sesama insan menerusi kerjasama antarabangsa adalah selaras dengan kepentingan mereka yang berfikiran rasional.

“Formula China menawarkan penyelesaian yang boleh laksana ke arah merungkai masalah yang wujud dalam Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.

“Berbanding kuasa penjajah Barat yang berhutang besar dengan pemodenan akibat sifat pemangsa mereka yang menjajah tanah di luar pantai mereka, China pula secara konsisten menerima globalisasi dalam mengejar pemodenan.

“Hari ini, saiz ekonomi China menyumbang sebanyak 18.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, yang turut meletakkan asas pemodenan negara itu,” jelas beliau.

Ong juga menyatakan, PKC, selain memastikan kesinambungan dasarnya, lebih terkenal dengan mempamerkan daya tahan dalam sifat semula jadi pembaikan diri untuk menangani sebarang kelemahan yang timbul dalam proses pelaksanaan.

Ketika menyebut tentang Matlamat Seratus Tahun Kedua, beliau berkata, agenda seterusnya PKC adalah membina negara sosialis moden yang kuat menjelang 2049 sempena ulang tahun ke-100 Republik Rakyat China.

Kata Ong, kini, semua mata tertumpu ke arah barisan kepimpinan baharu, yang sudah bersiap sedia memulakan tempoh perkhidmatan mereka dengan mengemudi trajektori tadbir urus masing-masing bermula sekarang.