China dan Rusia Sedia Kukuhkan Hubungan

2022-10-28 14:16:10  CRI
Share with:

Kiriman perutusan tahniah oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), Xi Jinping sejurus selepas Kongres Kebangsaan ke-20 PKC menutup, mencerminkan kesalingpercayaan bertahap tinggi dan sokongan yang kukuh antara China dan Rusia.  

Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian dalam perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov menerusi telefon pada Khamis.

Wang Yi, yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC dan anggota Dewan Negara berkata, China akan menyokong Rusia, di bawah pimpinan Presiden Putin, bersatu dan memimpin rakyat negara itu untuk mengatasi kesukaran dan gangguan, merealisasikan matlamat strategik pembangunan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Rusia sebagai kuasa besar di arena antarabangsa. 

Beliau menyatakan bahawa usaha China dan Rusia untuk mewujudkan pembangunan sendiri adalah hak sah kedua-dua negara. Sebarang percubaan untuk menghalang kemajuan China dan Rusia pasti akan gagal.  

Wang menegaskan, China bersedia merapatkan hubungan dengan Rusia di seluruh peringkat, melonjakkan hubungan dan kerjasama China-Rusia dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi, supaya memberi manfaat yang lebih baik kepada kedua-dua negara dan rakyat, serta menyumbang lebih banyak unsur kestabilan kepada dunia yang bergolak ini.

Sergei Lavrov mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan Kongres Kebangsaan ke-20 PKC, dan mengucapkan tahniah kepada Xi Jinping yang sekali lagi dipilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC.

Beliau berkata bahawa Kongres Kebangsaan ke-20 PKC ialah perkara yang penting di peringkat global dan ia pasti akan membimbing China mewujudkan matlamat kebangkitan bangsa China.

Lavrov menyatakan bahawa Rusia bersedia untuk mengukuhkan hubungan dengan China di seluruh peringkat, mengintensifkan kerjasama pelbagai hala, dan bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan di rantau Asia-Pasifik bahkan dunia.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu Ukraine dan isu antarabangsa dan serantau lain yang menjadi perhatian bersama.