Xi Ditemui Nguyen Phu Trong
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPVCC) Nguyen Phu Trong di Dewan Besar Rakyat di Beijing, petang tadi.
Sepanjang pertemuan, Xi yang juga Presiden China menyuarakan hasrat ingin bertukar pandangan secara mendalam mengenai pembinaan sosialis serta perkembangan hubungan dua negara dan parti.
Menurut Xi, Nguyen Phu Trong merupakan pemimpin asing pertama yang ditemui beliau selepas Kongres Kebangsaan ke-20 PKC.
“Pertemuan ini memperlihatkan bahawa kita (China dan Vietnam) amat mementingkan hubungan kedua-dua negara dan hubungan sesama parti.
“Pada masa ini, kita masing-masing menghadapi peluang dan cabaran baharu dalam mengembangkan usaha sosialis dan hubungan dua negara. Saya bersedia berkongsi pandangan mengenai perkara tersebut,” kata Xi.
Dalam pada itu, Nguyen Phu Trong menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Kongres Kebangsaan ke-20 PKC.
“Ini mencerminkan sumbangan dan kepimpinan PKC dalam mengetuai rakyat untuk merealisasikan reformasi signifikan berpandukan pemikiran Xi Jinping mengenai sosialisme bercirikan China pada era baharu sejak sedekad lalu.
“Ia juga memperlihatkan sokongan padu terhadap kewibawaan pemimpin China di persada dunia,” ujarnya.