China Berjaya Lancarkan Modul Eksperimen Stesen Angkasa Mengtian

2022-11-01 13:19:43  CRI
Share with:

Modul eksperimen Mengtian berjaya dilancarkan dengan menggunakan roket pembawa Long March-5B Y4 di pusat pelancaran Wenchang, provinsi Hainan, pada Isnin.

Modul eksperimen berkenaan telah memasuki orbit yang disasarkan dan akan bercantum dengan kompleks stesen angkasa lepas.

Mengtian merupakan modul ketiga dan juga modul eksperimen kedua bagi stesen angkasa lepas China.

Modul eksperimen seberat 23 tan metrik itu dilengkapi dengan ruang kerja anak kapal, bahagian muatan, kabin kedap udara dan kabin sumber bagi tujuan menjalankan eksperimen sains dan aplikasi angkasa serta pengurusan kompleks stesen angkasa lepas.

Kabin sendat udara pula berfungsi menyokong penghantaran kargo keluar atau masuk kabin secara automatik dan menyediakan sokongan kepada eksperimen sains di dalam dan luar modul.

Untuk rekod, program penerbangan angkasa lepas bermanusia China dimulakan pada 1992, dan stesen angkasa lepas siap dibina dalam orbit pada tahun ini.

Dalam tempoh 30 tahun tersebut, China berjaya mengkaji dan menguasai pelbagai teknologi penting yang melibatkan penerbangan ulang-alik antara Bumi dengan angkasa lepas, menjalankan aktiviti luar kenderaan (EVA) di angkasa lepas serta pertemuan dan percantuman kapal angkasa lepas yang turut meletakkan asas teknologi kukuh bagi pembinaan stesen angkasa lepas.

China menyasar supaya program penerbangan angkasa lepas bermanusia dijalankan dengan prinsip penggunaan ruang angkasa secara damai, sama rata dan saling menguntungkan serta pembangunan bersama-sama.

China memeterai perjanjian kerjasama dengan banyak institusi dan pertubuhan aeroangkasa yang melibatkan Perancis, Jerman, Itali, Rusia, Pakistan, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Urusan Angkasa Luar (UNOOSA) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) untuk menjalankan projek kerjasama pelbagai jenis dan bentuk dan melakar hasil yang menggalakkan.

Stesen angkasa lepas China merupakan program pertama seumpanya yang dibuka kepada semua negara anggota PBB. Setakat ini, terdapat sembilan projek dari 17 negara dan 23 entiti disenarai sebagai kumpulan pertama projek terpilih untuk eksperimen sains di stesen angkasa China.

Kesemuanya ini turut menyaksikan usaha konsisten China untuk menggalakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan dalam bidang aeroangkasa.