Xi Anugerahkan Pingat Persahabatan kepada Ketua Parti Komunis Vietnam
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping menganugerahkan Pingat Persahabatan Republik Rakyat China kepada Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPVCC) Nguyen Phu Trong di Dewan Besar Rakyat di Beijing, Isnin.
Xi yang juga Presiden China berkata, ikatan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara dan parti kekal utuh, menyaksikan rasa saling percaya dalam bidang politik semakin meningkat, kerjasama pragmatik semakin mantap serta program pertukaran dan saling belajar semakin rancak.
Menurut beliau, penganugerahan pingat itu merupakan simbolik perasaan muhibah PKC bersama rakyat China terhadap Trong dan rakyat Vietnam.
“Ia melambangkan persahabatan yang tulus antara kita (China dan Vietnam), bagaikan ‘rakan seperjuangan dan adik-beradik’, sekali gus merupakan aspirasi bersama rakyat kedua-dua negara ke arah melakar masa depan yang lebih baik,” ujar Xi.
Xi turut menambah, dalam perjalanan menggerakkan pemodenan sosialis kedua-dua negara, PKC bersedia bersama CPV yang diketuai Trong untuk mewarisi persahabatan tradisional yang dipupuk dan diperkukuh oleh pemimpin generasi dahulu iaitu Mao Zedong dan Ho Chi Minh, dan bersinergi ke arah memantapkan lagi hubungan dua hala.