China, Pakistan Iltizam Perkasa Kerjasama Strategik Segenap Aspek

2022-11-02 17:23:02  CRI
Share with:

China bersedia bersama Pakistan ke arah melonjakkan kerjasama strategik segenap aspek, mempercepat pembentukan komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat pada era baharu, sekali gus menyuntik penggerak baharu kepada perkongsian strategik sepanjang masa.

Demikian kata Presiden China, Xi Jinping ketika bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Dewan Besar Rakyat di Beijing pagi tadi.

Xi menyuarakan hasrat mahu mengintensifkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Pakistan.

Beliau menyarankan kedua-dua negara mengoptimumkan mekanisme Jawatankuasa Kerjasama Bersama (JCC) Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) untuk menjayakan projek berkenaan, hingga menjadikannya projek demonstrasi pembangunan berkualiti berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Kedua-dua negara perlu mempergiat pembinaan kemudahan sokongan Pelabuhan Gwadar untuk memacu pembangunan bersepadu serantau.

“Sinergi juga perlu dibentuk untuk mencipta syarat kondusif bagi menggerakkan pelaksanaan projek penaiktarafan laluan kereta api Karachi–Peshawar (ML-1) dan landasan kereta api melingkari Karachi (KCR ) seawal mungkin,” ujarnya.

Xi berkata China mengalu-alukan Pakistan meningkatkan pengeksportan produk pertanian berkualiti ke China, dan bersedia bersama Pakistan untuk memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, e-dagang dan tenaga alternatif seperti fotovolta.

Menurut beliau, kedua-dua pihak harus meningkatkan penyelarasan dalam isu-isu penting serantau dan antarabangsa, menjunjung multilateralisme jitu, memelihara kepentingan bersama negara-negara membangun, dan memberi tenaga positif kepada dunia.

Sementara itu, Shehbaz mengulangi pendirian teguh menyokong dasar satu China dan mendukung pendirian China dalam isu-isu berkaitan Taiwan, Xinjiang dan Hong Kong.

Pakistan ingin terus memperkasakan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk memajukan pembangunan sendiri, katanya.

Shehbaz memuji projek CPEC sebagai signifikan bagi pembangunan sosioekonomi negaranya.

Beliau turut berharap China dapat menawarkan sokongan lebih besar kepada projek pembinaan infrastruktur di Pakistan termasuk ML-1 dan KCR.