PM China Pengerusikan Mesyuarat ke-21 Majlis Ketua Kerajaan Anggota SCO

2022-11-02 12:12:30  CRI
Share with:

Perdana Menteri China, Li Keqiang mempengerusikan mesyuarat ke-21 Majlis Ketua-Ketua Kerajaan Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung secara maya, pada Selasa.

Dalam pada itu, Li menyarankan anggota SCO supaya memperdalam kerjasama penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara keselamatan dan menyediakan persekitaran yang baik demi pembangunan, di samping meningkatkan taraf kemudahan perdagangan dan pelaburan untuk memacu pemulihan ekonomi serantau.

Negara terbabit juga diharap memperkasa kesalinghubungan, mewujudkan pembangunan bersepadu dan menjaga kestabilan rantaian perindustrian, selain mempertingkat jaminan bekalan makanan dan tenaga serta merapatkan pertukaran sosiobudaya.

Li berkata, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang diadakan mutakhir ini mempamerkan komitmen China untuk mengekalkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka dan terus menempuh jalan pembangunan secara damai, di samping berganding bahu dengan pelbagai pihak bagi menggalakkan kedamaian dan pembangunan dunia.

Pihak-pihak yang menyertai mesyuarat berkenaan menzahirkan hasrat untuk meneroka potensi kerjasama dan bersinergi untuk menangani cabaran dalam bidang keselamatan makanan, sumber tenaga dan perubahan iklim.