Belia China, ASEAN Berdialog dengan Kru Shenzhou-14

2022-11-02 13:45:10  CRI
Share with:


Aktiviti “Dialog Tiangong: Soal Jawab bersama Kru Angkasawan Shenzhou-14 dengan Belia ASEAN” anjuran bersama Pusat China-ASEAN dan World Affairs Press telah membuka tirai di Sekolah Royal Beijing, pada Selasa.

Selain Beijing, aktiviti tersebut juga berlangsung serentak di Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam dengan penyertaan hampir seribu individu terdiri daripada wakil kerajaan pelbagai negara, wakil kedutaan besar negara ASEAN di China, media dan belia dari China serta negara ASEAN.

 

Penolong Menteri Luar China, Wu Jianghao dalam ucapan menerusi video menyatakan bahawa menerokai alam semesta yang penuh misteri merupakan impian bersama manusia.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, China dan ASEAN telah menjalankan interaksi dan kerjasama yang rapat dalam bidang penggunaan teknologi angkasa lepas, satelit telekomunikasi dan pengukuran serta pemetaan angkasa.

“Angkasa lepas menjadi sektor baharu kerjasama kedua-dua pihak,” ujar beliau.

Wu berharap golongan muda China dan ASEAN berusaha mempelajari ilmu sains demi masa depan dunia yang lebih cerah.

 

 

Ketua Setiausaha Pusat China-ASEAN, Shi Zhongjun dalam ucapannya pula menyatakan kedua-dua pihak mengambil berat pada kerjasama sektor angkasa lepas.

Beliau juga yakin semua pihak akan mendapat manfaat daripada penerokaan dan penggunaan angkasa lepas secara aman.

“Saya berharap aktiviti seumpama ini akan membangkitkan semangat belia kedua-dua pihak dan meningkatkan keupayaan sendiri sehingga memberi sumbangan bagi pembangunan sains teknologi angkasa di China dan negara ASEAN pada masa hadapan,” kata Shi.

 

Duta Besar Indonesia di China, Djauhari Oratmangun sebagai wakil kedutaan besar negara ASEAN di China turut menyampaikan ucapan secara video dalam talian.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberi peluang terbaik bagi remaja negara ASEAN untuk berinteraksi dengan angkasawan China.

Beliau yakin kaum belia tersebut akan mendapat suntikan semangat untuk menerokai angkasa dan mempelajari sains.

Kata Djauhari, pertukaran sosiobudaya antara ASEAN dengan China juga akan dipergiatkan lagi melalui aktiviti seperti ini.

 

 

Aktiviti “Dialog Tiangong” kali ini bertemakan “pikul tanggungjawab sebagai belia, membina impian angkasa lepas bersama-sama”.

Para belia dari negara ASEAN telah berinteraksi dengan tiga angkasawan China iaitu Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe yang sedang bertugas di angkasa lepas.

Pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwok, Kuala Lumpur, Malaysia mengemukakan soalan kepada krew Shenzhou-14

 

Mahasiswa dari Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE) mengemukakan soalan kepada angkasawan China

 

Pelajar dari Laos mengemukakan soalan kepada kru angkasawan Shenzhou-14

 

Pelajar dari Sekolah Menengah Tinggi Makati mengemukakan soalan kepada angkasawan China

Tiga orang angkasawan China bukan sahaja menjawab soalan-soalan dikemukakan pelajar dari negara ASEAN, malah menggalakkan mereka terus belajar secara bersungguh-sungguh untuk menyatakan impian.

Liu Boming, angkasawan China yang pernah bertugas sebagai anggota kru Shenzhou-7 dan Shenzhou-12 telah menyampaikan ceramah dan berinteraksi dengan remaja dari pelbagai negara dalam aktiviti kali ini.