Xi Adakan Rundingan dengan Presiden Tanzania

2022-11-03 20:33:23  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Tanzania, Samia Suluhu Hassan di Dewan Besar Rakyat di Beijing petang tadi.

Pemimpin kedua-dua negara mengumumkan penaiktarafan hubungan China-Tanzania ke peringkat perkongsian kerjasama strategik komprehensif. 

Xi dalam rundingan itu menegaskan bahawa China sentiasa memandang hubungan dengan Tanzania dari perspektif strategik dan merupakan rakan yang boleh dipercayai bagi negara itu.

China dengan tegas menyokong usaha Tanzania dalam memelihara kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan serta meneroka jalan pembangunan yang selaras dengan keadaan negara sendiri.

China juga bersedia bersama Tanzania untuk saling menyokong dalam isu-isu yang berkaitan kepentingan teras dan menjadi keprihatinan utama.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk memperluas pengimportan produk dari Tanzania, dan menyokong syarikat domestik melabur di negara itu.

Tambah beliau, prinsip saling percaya, saling untung, saling mempelajari dan saling membantu perlu terus dijadikan pegangan dalam mengembangkan hubungan China-Afrika.

China bersedia menawarkan peluang baharu kepada benua itu menerusi pembangunan sendiri.

Presiden Hassan pula berkata Tanzania bersedia mengambil peluang daripada penjalinan perkongsian kerjasama strategik komprehensif dengan China untuk memperkasa kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, hingga menjadikannya contoh hubungan Afrika-China pada era baharu.

Beliau juga menzahirkan komitmen pihaknya untuk terus memberi sokongan kukuh kepada China dalam isu-isu berkaitan Taiwan, Xinjiang dan Hong Kong.

Pemimpin kedua-dua negara turut sepakat untuk mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, menaik taraf kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, memacu pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperluas interaksi sosiobudaya dan merapatkan sinergi dalam urusan antarabangsa dan multilateral.