Kenaikan Kadar Faedah AS Cetus Kebimbangan

2022-11-03 15:38:05  CRI
Share with:

Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 75 mata asas (bps) pada Rabu, kenaikan keenam sejak Jun, sekali gus mencetuskan kebimbangan global.

Langkah Fed seumpama akan memburukkan lagi kemelesetan sejagat, menurut hasil tinjauan dijalankan Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) bersama Universiti Renmin China (RUC).

Tinjauan soal selidik itu melibatkan seramai 100 orang ahli ekonomi dari seluruh dunia.

Hasil tinjauan mendapati 90 peratus responden beranggapan bahawa risiko stagflasi meningkat menyusuli langkah Fed itu, manakala 94 peratus berpendapat kenaikan kadar faedah secara berterusan mungkin menyebabkan peningkatan mendadak risiko hutang yang ditanggung negara membangun.

Fed mendakwa langkah menaikkan kadar faedah berturut-turut adalah untuk menangani tekanan inflasi, dan membayangkan masalah berkenaan hanya berlaku buat sementara.

Bagaimanapun, hanya lebih 15 peratus ahli ekonomi yang ditinjau bersetuju dengan kenyataan Fed tersebut.

Dalam pada itu, 57 peratus responden percaya langkah pelonggaran kuantitatif (QE) dan penerbitan mata wang yang berlebihan merupakan penyebab utama masalah inflasi, sementara 50 peratus berpendapat perang dagang menyasar China yang dilancarkan AS antara punca utamanya.

Menurut dapatan tinjauan, lebih 72 peratus responden menganggap kenaikan kadar faedah akan menjejaskan pengambilan pekerjaan, dan 83 peratus bimbang bahawa tindakan itu akan merosakkan kestabilan masyarakat negara membangun.