China, Singapura Ikrar Perkasa Kerjasama Bilateral
Naib Perdana Menteri China, Han Zheng mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam tempoh lawatan selama dua hari bermula Selasa.
Dalam pertemuan berkenaan, Han Zheng berkata perkembangan hubungan China-Singapura yang baik pada masa ini bukan sahaja membantu menjana pembangunan kedua-dua negara, malah menyumbang kepada pembangunan serantau dan dunia.
Kata beliau, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) mengemukakan gagasan untuk mendorong kebangkitan bangsa secara menyeluruh menerusi modenisasi ala China.
China bersedia terus memperkasa kerjasama dan usaha saling mempelajari dengan Singapura bagi memacu pemodenan kedua-dua negara.
Beliau turut menekankan perlunya melaksanakan dengan bersungguh-sungguh konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara bagi memantapkan lagi hubungan bilateral, serta mendorong transformasi dan penaiktarafan projek kerjasama.
Pemimpin-pemimpin Singapura pula menyuarakan kesediaan pihaknya untuk merapatkan interaksi peringkat tinggi, memperkasa kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang dan melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Di samping itu, Singapura juga bersedia berusaha bersama China untuk memelihara sistem perdagangan multilateral, menggalakkan kestabilan dan keterbukaan serantau dan memacu pembangunan mampan dunia.
Dalam perkembangan lain, Han Zheng dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat bersama-sama mempengerusikan sidang ke-18 Majlis Bersama Kerjasama Bilateral (JCBC) China-Singapura, mesyuarat ke-23 Majlis Pemandu Bersama (JSC) Taman Industri Suzhou, mesyuarat ke-14 JSC Kota Ekologi Tianjin China-Singapura dan mesyuarat ke-6 JSC Inisiatif Demonstrasi Kesalinghubungan Strategik China-Singapura (Chongqing).