Xi Sampai Ucaptama pada Majlis Perasmian CIIE Kelima

2022-11-04 23:03:24  CRI
Share with:

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) menjadi jendala untuk China membentuk paradigma pembangunan baharu, selain wadah bagi memacu keterbukaan bertaraf tinggi serta produk awam antarabangsa yang dikongsi global.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama secara maya dalam majlis perasmian CIIE edisi kelima yang berlangsung di Shanghai hari ini.

Beliau menegaskan perlunya mengamalkan keterbukaan bagi mengatasi kesulitan pembangunan, memupuk sinergi kerjasama, memacu usaha inovasi dan mewujudkan kesejahteraan yang dikongsi bersama, sekali gus mendorong globalisasi ekonomi dan mengukuhkan momentum pembangunan setiap negara.   

Menurutnya, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) memberi penekanan bahawa China akan mengekalkan dasar pintu terbuka dan strategi keterbukaan yang saling menguntungkan, serta memegang hala tuju betul globalisasi ekonomi.   

China komited menawarkan peluang baharu kepada dunia menerusi pembangunan sendiri dan menggalakkan pembinaan ekonomi dunia yang bersifat terbuka.  

Beliau berkata China akan berkongsi peluang dalam pasaran raksasanya dengan negara-negara lain.

Langkah akan dipercepat untuk membangunkan pasaran domestik yang kuat, menaiktarafkan perdagangan barangan, menginovasi mekanisme pembangunan perdagangan perkhidmatan dan memperluas pengimportan produk berkualiti.

Tumpuan turut akan diberikan kepada pembinaan zon rintis kerjasama e-dagang Jalan Sutera dan zon demonstrasi peringkat negara bagi pembangunan inovatif perdagangan perkhidmatan.

Selain itu, China juga berikrar berkongsi peluang dengan pelbagai pihak menerusi keterbukaan secara keinstitusian serta pemerkasaan kerjasama antarabangsa.

Dalam pada itu, China akan terus memantapkan keterbukaan secara keinstitusian, melaksanakan dengan baik versi baharu Katalog Industri-Industri Digalakkan untuk Pelaburan Asing, dan memperkasa pembinaan zon demonstrasi bersepadu bagi keterbukaan sektor perkhidmatan.