Xi Adakan Rundingan dengan Canselor Jerman

2022-11-04 15:38:00  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Beijing hari ini.

Xi dalam rundingan itu berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan diplomatik China-Jerman.

Perjalanan dalam lima dekad lalu memperlihatkan bahawa ikatan kedua-dua negara akan mengekalkan hala tuju yang tepat dan terus berkembang mantap dengan memegang prinsip saling hormat, mencari persamaan dan menerima perbezaan, berinteraksi dan saling mempelajari, serta kerjasama saling menguntungkan.

Menurut beliau, tatkala situasi antarabangsa mengalami perubahan yang rumit pada masa ini, China dan Jerman selaku dua negara besar yang berpengaruh hendaklah berganding bahu untuk memberi lebih banyak sumbangan kepada kedamaian dan pembangunan dunia.

Beliau menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu saling menghormati, menjaga kepentingan teras satu sama lain, mengekalkan dialog dan perundingan, di samping bersama menangkis gangguan akibat perlawanan sesama blok dan pan-ideologisasi.

Kedua-dua pihak perlu terus memperluas kepentingan bersama, dengan meneroka potensi bidang kerjasama sedia ada sambil mendinamikkan kerjasama dalam bidang baharu seperti tenaga alternatif, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.

Beliau turut meluahkan hasrat ingin memperkasa sinergi dengan Jerman serta Eropah dalam urusan antarabangsa, dan bersama mencari penyelesaian untuk masalah global termasuk perubahan iklim, perlindungan biodiversiti dan keselamatan makanan.

Scholz pula berkata China merupakan rakan dagang utama bagi Jerman. Pihaknya berdiri teguh menyokong kebebasan perdagangan dan globalisasi ekonomi, di samping menentang amalan 'mencantas hubungan'.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk terus memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China, dan menyokong perusahaan kedua-dua negara menjalankan kerjasama pelaburan.

Menurutnya, dunia memerlukan landskap multipolar, dan peranan serta pengaruh negara pasaran baru muncul perlu diberikan perhatian.

Pemimpin kedua-dua negara juga bertukar-tukar pendapat tentang krisis Ukraine.

Dalam pada itu, Xi berkata China menyokong Jerman serta Eropah memainkan peranan penting dalam mendorong rundingan damai, dan menggalakkan pembentukan kerangka keselamatan Eropah yang seimbang, efektif dan mampan.