Jalinan Persahabatan China, Pakistan Makin Utuh

2022-11-04 13:31:37  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping ketika bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Beijing pada Selasa memuji keutuhan ikatan muhibah kedua-dua negara dan menyuarakan hasrat mahu bersama Pakistan ke arah mempercepat pembentukan komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat pada era baharu, sambil menyuntik penggerak baharu kepada perkongsian strategik sepanjang masa.

Dalam pertemuan itu, Xi turut memperincikan pembangunan berkualiti berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China-Pakistan pada fasa seterusnya.

Beliau menyarankan kedua-dua negara mengoptimumkan mekanisme Jawatankuasa Kerjasama Bersama (JCC) Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) untuk menjayakan projek berkenaan, selain menggerakkan pelaksanaan projek penaiktarafan laluan kereta api Karachi–Peshawar (ML-1) dan landasan kereta api melingkari Karachi (KCR) seawal mungkin.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan pelaburan untuk projek CPEC melepasi AS$ 25 bilion (RM118.65 bilion), dengan mencipta sebanyak 150,000 peluang pekerjaan di Pakistan.

Menurut kenyataan bersama China-Pakistan dikeluarkan selepas pertemuan itu, kedua-dua negara mencapai persepakatan dalam pembangunan berkualiti BRI serta perdagangan, pelaburan dan pertukaran sosiobudaya.

Beberapa perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai melibatkan e-dagang, ekonomi digital, eksport produk pertanian, kerjasama kewangan, perlindungan tinggalan sejarah dan prasarana.

Shehbaz menyifatkan pemerkasaan perkongsian strategik sepanjang masa Pakisatan-China sebagai tunggak dasar luar Pakistan serta konsensus pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau turut mengulangi pendirian menyokong penuh Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global yang diajukan Presiden Xi.

Dalam pada itu, Pakistan dilihat sebagai rakan kongsi utama bagi Inisiatif Pembangunan Global.

Ini diyakini dapat memberi tenaga positif kepada kemakmuran dan kestabilan Asia Selatan serta kedamaian dan pembangunan dunia, sekali gus memastikan pembangunan dua negara itu kekal mantap.