Pembangunan China Janjikan Peluang Baharu Buat Afrika

2022-11-05 15:10:25  CRI
Share with:

Pemerkasaan hubungan antara China dan Tanzania bukan sahaja selaras dengan kepentingan bersama dalam jangka panjang kedua-dua negara, malah membawa makna signifikan bagi menggalakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib China-Afrika pada era baharu.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam rundingan dengan rakan sejawatnya dari Tanzania, Samia Suluhu Hassan di Beijing pada Khamis.

Dalam rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara mengumumkan penaiktarafan hubungan China-Tanzania ke peringkat perkongsian kerjasama strategik komprehensif.

Banyak konsensus penting turut dicapai antaranya termasuk mengekalkan pertukaran lawatan dan dialog peringkat tinggi serta memperluas kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Pada tahun 1970-an, China giat membantu Tanzania membina landasan kereta api walaupun negara ini masih mendepani masalah kemiskinan pada masa itu. Perkara ini menjadi simbol persahabatan China-Afrika.

Semasa melawat ke Tanzania pada 2013, Presiden Xi mengemukakan gagasan berprinsipkan 'jujur, mesra dan ikhlas' untuk mengembangkan kerjasama dengan Afrika.

Dalam rundingan kali ini, pemimpin kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk saling menyokong dalam isu-isu berkaitan kepentingan teras dan menjadi keprihatinan utama. Ia sekali gus mempamerkan kekukuhan persahabatan tradisional dan kesalingpercayaan bertahap tinggi dalam bidang politik antara China dan Tanzania.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas rundingan itu, China bersetuju memberi status bebas tarif terhadap 98 peratus produk daripada katalog pengeksportan Tanzania ke negara ini, dan komited memberi sokongan kepada pengindustrian dan pemodenan negara Afrika itu.  

Dunia kini berada dalam tempoh transformasi baharu menyaksikan perubahan yang tidak pernah berlaku sepanjang abad serta tempias pandemik COVID-19. Kerjasama China-Afrika yang rapat bukan sahaja selaras dengan kepentingan asas kedua-dua pihak, malah penting bagi memelihara keadilan dunia dan memacu pembangunan mampan global.

Xi dalam rundingan itu juga menegaskan komitmen China untuk menawarkan peluang baharu kepada Afrika menerusi pembangunan sendiri. 

China bersedia berganding bahu dengan Afrika untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) serta mempertingkat keberperwakilan dan hak bersuara negara membangun dalam tadbir urus global, katanya.

Iltizam berkenaan turut memperlihatkan keinginan China untuk memacu persahabatan dan kerjasama dengan benua itu dari perspektif strategik.