Xi Seru Kukuhkan Kerjasama Pulihara Tanah Lembap

2022-11-05 18:46:41  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menyeru supaya usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran, mengukuhkan kerjasama dan memperkasakan lagi tindakan pemuliharaan tanah lembap di seluruh dunia.

Seruan itu dibuat beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat ke-14 Persidangan Pihak-pihak Pemeterai Konvensyen Ramsar mengenai Tanah Lembap (COP14) menerusi pautan video, petang tadi.

Bertemakan ‘Tindakan Tanah Lembap untuk Rakyat dan Alam’, mesyuarat itu diadakan di Wuhan dan Geneva bermula 5 hingga 13 November.

Xi menyifatkan mesyuarat itu sebagai amat penting dan akan meneroka pendekatan dalam memelihara dan membangunkan tanah lembap. 

“Pentingnya konsensus global dibina dalam menghargai tanah lembap, dan rasa hormat ditunjukkan kepada alam semula jadi. 

“Selain itu, gangguan dan kerosakan terhadap paya akibat aktiviti manusia harus diminimumkan, serta keselamatan ekologi berkenaan perlu dipelihara demi kelestariannya buat generasi akan datang,” kata Xi.

Beliau turut menekankan peri pentingnya memajukan proses global mengenai pemuliharaan tanah lembap dan menggandakan usaha untuk memelihara keaslian dan integriti paya berkenaan. 

“Lebih banyak tanah lembap yang penting harus diwartakan sebagai rizab alam semula jadi, sementara platform dan mekanisme kerjasama terus disempurnakan dan liputan tanah lembap berkepentingan antarabangsa dipertingkat,” ujar beliau.

Xi menambah, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan secara global dengan mengoptimumkan peranan tanah lembap dalam menggalakkan pembangunan mampan, menangani perubahan iklim, melindungi biodiversiti dan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada seluruh dunia.