CIIE Papar Komitmen China terhadap Keterbukaan

2022-11-05 15:05:06  CRI
Share with:

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima membuka tirainya di Shanghai, hari ini.

Sebagai pameran peringkat negara pertama di dunia yang bertemakan pengimportan, acara tahunan itu menjadi wadah utama bagi merancakkan pemerolehan antarabangsa, promosi pelaburan, pertukaran sosiobudaya dan kolaborasi terbuka, sejak ia pertama kali diadakan pada 2018.

Presiden Xi Jinping ketika berucap merasmikan pameran berkenaan malam tadi mengumumkan bahawa China akan berkongsi peluang dalam pasaran raksasanya dengan negara-negara lain. 

Beliau berjanji, negara Tembok Besar ini akan berkongsi peluang dengan pelbagai pihak menerusi keterbukaan secara keinstitusian serta pemerkasaan kerjasama antarabangsa.

Presiden itu pernah menekankan betapa pentingnya landskap keterbukaan yang makin luas, kerjasama yang saling menguntungkan dan sinergi untuk maju bersama, menerusi ucaptamanya pada majlis perasmian CIIE edisi sebelumnya. Perkataan 'terbuka' disebut beliau sebanyak lebih seratus kali.

Untuk rekod, lebih daripada 1,500 produk baharu atau teknologi dan perkhidmatan terkini membuat penampilan sulung dalam pameran empat edisi lalu, dengan jumlah kumulatif urus niaga bernilai AS$270 bilion.

restasi itu menjadi penggalak yang kuat kepada pertumbuhan perdagangan antarabangsa dan perkembangan ekonomi dunia.

Pada edisi tahun ini, tumpuan lebih diberikan kepada pembinaan zon rintis kerjasama e-dagang Jalan Sutera dan zon demonstrasi peringkat negara bagi pembangunan inovatif perdagangan perkhidmatan.

Xi lantang menyuarakan komitmen China untuk memantapkan landskap keterbukaan pada tahap lebih tinggi.

Beliau turut berjanji akan terus memberi sokongan padu kepada perkembangan negara membangun, selain menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.