CIIE: Ucapan Xi Bakar Semangat Pempamer

2022-11-06 14:25:15  CRI
Share with:

Komitmen untuk memperluas keterbukaan yang dizahirkan Presiden Xi Jinping sempena perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima, membakar semangat para peserta pameran berkenaan.

Mereka menanti-nantikan untuk berkongsi peluang baharu yang dibawa oleh pembangunan berkualiti dan keterbukaan China.

Naib Presiden Eksekutif Panasonic Holdings Corp, Homma Tetsur menyifatkan ucapan Presiden Xi sebagai amat menggalakkan kerana mesej yang disampaikan beliau memaparkan iltizam China untuk memacu pembangunan berkualiti menerusi keterbukaan.

Difahamkan, Panasonic telah menubuhkan syarikat usahasama di China pada 1987 dan ini merupakan tahun kelima berturut-turut baginya untuk menyertai CIIE.

Pengerusi Penyelarasan Majlis Perniagaan Asia Pasifik Turkiye, Murat Kolbasi pula berkata hampir 100 perusahaan Turkiye telah menyertai CIIE sejak ekspo ini kali pertamanya diadakan pada 2018, menyaksikan jumlah eksport ke China melepasi AS$500 juta (RM2.37 bilion).

Difahamkan, sebanyak 145 buah negara dan wilayah serta pertubuhan antarabangsa mengambil bahagian dalam CIIE tahun ini, termasuk 284 syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dan syarikat peneraju dalam sektor berkenaan. Antaranya, hampir 90 peratus pempamer pernah menyertai CIIE edisi lalu.