China Ikrar Kongsi Peluang menerusi Keterbukaan

2022-11-06 15:19:08  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping ketika berucap merasmikan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima menekankan perlunya mengamalkan keterbukaan bagi mengatasi kesulitan dalam pembangunan, memupuk sinergi dalam kerjasama, memacu usaha inovasi dan mewujudkan kesejahteraan yang dikongsi bersama, sekali gus mendorong globalisasi ekonomi dan mengukuhkan momentum pembangunan setiap negara.

Beliau turut berjanji, negara Tembok Besar ini akan berkongsi peluang dengan semua negara.

Para pempamer menyifatkan ucapan Presiden Xi sebagai amat menggalakkan kerana ia memaparkan tekad China untuk memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan memacu pembangunan bersama.

Untuk rekod, lebih daripada 1,500 produk baharu atau teknologi dan perkhidmatan terkini membuat penampilan sulung dalam pameran empat edisi lalu, dengan jumlah kumulatif urus niaga bernilai AS$270 bilion.

Buat masa ini, dunia berdepan perubahan yang tidak pernah berlaku sepanjang abad, manakala momentum pemulihan ekonomi sejagat menjadi lemah ekoran faktor-faktor seperti inflasi, tempias pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik.

Mutakhir ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun depan kepada 2.7 peratus.

Dalam konteks ini, penganjuran CIIE kelima seperti dijadualkan dianggap menyuntik penggerak yang sangat diperlukan kepada seluruh dunia.

CIIE kali ini menyaksikan penyertaan pempamer dari 145 buah negara dan wilayah serta pertubuhan antarabangsa, termasuk 284 syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dan syarikat peneraju dalam sektor berkenaan.

Antaranya, kira-kira 90 peratus pempamer pernah menyertai CIIE edisi lalu.

Angka itu turut memperlihatkan hasrat syarikat global untuk merebut peluang daripada pasaran China.

Laporan Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) memberi penekanan bahawa China akan mengekalkan dasar pintu terbuka dan strategi keterbukaan yang saling menguntungkan, serta komited menawarkan peluang baharu kepada dunia menerusi pembangunan sendiri.

Dalam ucapan sempena perasmian CIIE kelima pada Jumaat, Presiden Xi juga berikrar berkongsi peluang dalam pasaran raksasanya menerusi keterbukaan secara keinstitusian serta pemerkasaan kerjasama antarabangsa dengan negara-negara lain.

Menurut penganalisis, usaha China berkenaan diyakini akan menyuntik tenaga positif kepada ekonomi global yang sedang berada dalam kemelesetan.