Ucapan Xi Bakar Semangat Para Peserta CIIE

2022-11-07 16:04:21  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menghadiri majlis perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima secara maya dan menyampaikan ucaptama yang bertajuk "Bersama Mencipta Masa Depan yang Makmur dan Terbuka" pada 4 November lalu.

Komitmen untuk memperluas keterbukaan yang dizahirkan Presiden Xi dilihat berjaya membakar semangat para peserta dan mereka turut menanti-nantikan peluang yang dibawa hasil pembangunan bermutu tinggi dan keterbukaan di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif Panasonic Holdings Corp, Homma Tetsuro menyifatkan ucapan Presiden Xi sebagai sangat memberangsangkan kerana mesej yang disampaikan beliau memaparkan iltizam China untuk memacu pembangunan berkualiti menerusi keterbukaan.

Difahamkan, Panasonic telah menubuhkan syarikat usahasama di China pada 1987 dan ini merupakan tahun kelima berturut-turut baginya untuk menyertai CIIE.

Naib Presiden Eksekutif Shiseido China, Fujiwara Kentaro yang telah menyertai CIIE buat empat edisi berturut-turut menyatakan, beliau menyaksikan kesalinghubungan pasaran China dengan pasaran global, inovasi dan pembanguan yang saling memacu, serta manfaat dan peluang pembangunan dibawakan oleh keterbukaan dan keinklusifan China kepada rakyat seluruh dunia.

Pengerusi Penyelaras Majlis Perniagaan Asia Pasifik Turkiye, Murat Kolbasi pula berkata hampir 100 perusahaan dari Turkiye telah menyertai CIIE sejak ekspo ini kali pertamanya diadakan pada 2018, menyaksikan jumlah eksport ke China melepasi USD500 juta (RM2.37 bilion).

Konsul Jeneral Filipina ke Shanghai, Josel F. Ignacio menyatakan, China telah menjadi rakan dagang terbesar bagi Filipina selama beberapa tahun berturut-turut.

Justeru, beliau berharap untuk dapat terus mempromosikan produk minuman, makanan ringan dan produk lain dari Filipina di platform tersebut.