China, Kemboja Komited Perkasa Kerjasama
Perdana Menteri China, Li Keqiang menghadiri pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Samdech Techo Hun Sen di Phnom Penh pada Rabu mengenai kerjasama yang saling menguntungkan kedua-dua pihak.
Li berkata, China sentiasa berpegang kepada prinsip tentang semua negara adalah sama rata tak kira negara itu besar atau kecil, dan menyokong Kemboja dalam memilih jalan pembangunan yang sesuai dengan tata hukum negara sendiri dan memainkan peranan yang penting dalam pentas antarabangsa dan serantau. China bersedia meningkatkan komunikasi peringkat tinggi dengan Kemboja serta saling menyokong dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan teras dan keprihatian utama masing-masing untuk menggalakkan hubungan bilateral terus berkembang ke arah yang sihat demi kesejahteraan rakyat.
Li menambah, China menyokong meningkatkan pengimportan hasil pertanian yang berkualiti dari Kemboja, dan menyokong Kemboja dalam usahanya mempercepatkan perindustrian. China juga akan membantu Kemboja dalam pembinaan projek yang melibatkan jalan raya, perubatan dan bekalan air, memperdalam kerjasama bilateral dalam bidang sains dan teknologi, pendidikan dan kebudayaan, serta menambah penerbangan terus kedua-dua negara, di samping mengalu-alukan pelajar Kemboja melanjutkan pengajian di China.
Hun Sen pula berkata, Kemboja dan China mempunyai jalinan persahabatan yang akrab. Kemboja yang berpegang teguh kepada dasar Satu China menyokong pembinaan komuniti berkongsi nasib Kemboja-China, dan bersedia bekerjasama dengan China untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian, infrastruktur dan sosiobudaya bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala.
Selepas pertemuan itu, Li dan Hun Sen bersama-sama menyaksikan pemeteraian lebih daripada 10 dokumen kerjasama dua hala dalam bidang pertanian, infrastruktur, pendidikan, perubatan tradisional Cina sebelum menghadiri majlis pelancaran Lebuh Raya Phnom Penh--Pelabuhan Sihanoukville.