China Aktif Cari Langkah Penyesuaian Perubahan Iklim

2022-11-11 12:41:40  CRI
Share with:

China giat menggalakkan penyesuaian domestik terhadap perubahan iklim di samping aktif menjalankan kerjasama antarabangsa untuk usaha tersebut.

Demikian ujar Ketua Delegasi China bagi Rundingan Perubahan Iklim, Zhao Yingmin ketika berucap merasmikan Sidang Strategi dan Tindakan Penyesuaian Perubahan Iklim China sempena Sidang Kemuncak Pelaksanaan Iklim sesi ke-27 Persidangan Para Pihak (COP27) untuk Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Sharm el-Sheikh, pada Khamis.

Zhao, yang juga Naib Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China berkata bahawa China telah menghulurkan bantuan dan sokongan kepada beberapa negara kurang maju.

“Walau bagaimanapun, isu penyesuaian dan pembiayaan, teknologi, serta pembinaan keupayaan yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan negara membangun masih berjalan perlahan.

“Malah, janji negara maju untuk memberikan sokongan sebanyak 100 bilion dolar Amerika berhubung kewangan iklim kepada negara membangun setiap tahun masing belum ditunaikan,”ujar Zhao.

Beliau berkata, negara-negara maju diseru untuk memikul tanggungjawab dan kewajipan mereka yang sewajarnya, meningkatkan sokongan kewangan untuk tindakan penyesuaian negara membangun, dan mengajukan pelan tindakan bagi menggandakan dana penyesuaian.

Sementara itu, tindakan China yang mengeluarkan Strategi Negara bagi Penyesuaian Perubahan Iklim 2035 turut mendapat pujian Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB bagi Tindakan Iklim, Selwin Hart.

Menurutnya, strategi tersebut adalah sangat kritikal dan penting, serta bukan sahaja baik untuk China, bahkan seluruh dunia.

“Ini antara langkah positif menuju ke arah matlamat membina skala kerjasama dan perpaduan antarabangsa untuk menangani krisis iklim dengan berkesan,” kata Hart.