China Bersedia Intensifkan Kerjasama 10+3

2022-11-13 15:59:07  CRI
Share with:

Ketika menghadiri persidangan pemimpin ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan (10+3) ke-25 di Phnom Penh, Kemboja semalam, Perdana Menteri China, Li Keqiang menegaskan bahawa pintu China akan dibuka semakin luas. China bersedia memberi peluang baharu kepada pelbagai negara di dunia melalui pembangunan diri sendiri di samping memberi daya motivasi baharu bagi mengintensifkan kerjasama 10+3.

 

Li berkata, 10+3 merupakan saluran utama kerjasama rantau Asia Timur. Pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama untuk melindungi kelancaran dan kestabilan rantai industri serta rantai pembekalan antarabangsa sehingga mendorong keamanan dan kemakmuran serantau bahkan sedunia.

 

Li juga mengemukakan lima cadangan. Pertama, perlu meneruskan proses integrasi ekonomi serantau di samping mendorong penguatkuasaan “Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)” secara menyeluruh. Kedua, melindungi kestabilan rantai industri dan pembekalan serta mendorong penaiktarafan supaya membantu syarikat rantau ini meningkatkan keupayaan inovatif sains dan tekonologi dan tranformasi digital sehingga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Ketiga, meningkatkan keupayaan untuk menghadapi krisis. Dalam konteks ini, perlu menyokong pembinaan pusat simpanan barang perubatan kecemasan dan mekanisme simpanan kecemasan beras di samping terus menyempurnakan jaringan keselamatan kewangan serantau. Keempat, perlu mengintensifkan interaksi sosiobudaya. China sudah mengemaskini langkah pencegahan wabak berdasarkan perubahan semasa. Sehubungan itu, China akan beransur-ansur menambah penerbangan antarabangsa supaya dapat memudahkan pelajar ASEAN, Jepun dan Korea Selatan kembali ke China untuk meneruskan pengajian mereka. Kelima, terus mendorong pembangunan mampan seperti menganjurkan dialog meja bulat sumber tenaga bersih 10+3 dan pembasmian kemiskinan di rantau ini.