Kerjasama Dagangan, Pelaburan China-Indonesia Bawa Limpahan Manfaat
Pelaburan dari China akan memangkin ekonomi Indonesia terus berkembang ke tahap lebih tinggi, kata Direktur PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) Dwiyana Slamet Riyadi.
Dwiyana berkata, ia akan turut membawa kesan pengganda kepada pembangunan negara-negara ASEAN.
Mutakhir ini, pemeriksaan keseluruhan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung telah diselesaikan selepas siapnya ujian sistem elektrik katenari.
Dengan kelajuan operasi maksimum 350 kilometer sejam, laluan itu akan memendekkan masa perjalanan di antara dua bandar terbabit kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam sebelum ini.
Projek HSR Jakarta-Bandung bukan sekadar membantu menaik taraf piawaian pembinaan infrastruktur tempatan, malah menjadi penggerak baharu bagi pembangunan sosioekonomi Indonesia.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Indonesia selama sembilan tahun berturut-turut dan menjadi destinasi eksport terbesar bagi negara itu selama enam tahun berturut-turut.
Untuk rekod, jumlah dagangan antara kedua-dua negara melepasi AS$120 bilion (RM550.78 bilion) pada tahun lepas, menokok 58.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China turut menjadi sumber modal asing ketiga terbesar bagi Indonesia menyusuli lonjakan pelaburan dalam sektor prasarana, penaiktarafan perindustrian, ekonomi digital dan lain-lain.
Dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi kelima, produk dari Indonesia seperti sarang burung walet, kopi, minyak sawit dan buah-buahan tropika sekali lagi mendapat tempat di hati pengguna China.
PT Mayora Indonesia yang menyertai CIIE kali ini memberitahu bahawa pihaknya telah menikmati limpahan faedah daripada Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN.
Menurut wakil syarikat itu, status bebas tarif serta kecekapan pelepasan kastam yang tinggi menyebabkan kebanyakan produk Indonesia lebih berdaya saing di pasaran China.
Syarikat pengeluar makanan dan minuman itu menyasar memperkenalkan lebih banyak produk berkualiti untuk menembusi pasaran China.