Dokumentari China Mula Bersiaran di Negara Asia

2022-11-15 12:50:40  CRI
Share with:

Dokumentari China on a New Journey terbitan Kumpulan Media China (CMG) bersiaran menerusi saluran TV di pelbagai negara Asia termasuk Thailand, Kemboja, India, Laos, Turkiye dan Pakistan, bermula Isnin.

Mempunyai versi pelbagai bahasa, dokumentari itu memberi pendedahan kepada audiens bersasar tentang laluan unik yang ditempuhi China menuju pemodenan, selain resipi pembangunan pesat negara itu menerusi kisah benar.

Majlis pelancaran penyiaran dokumentari berkenaan diserikan dengan kehadiran ketua stesen televisyen dan pengurus media arus perdana dari negara terbabit secara maya.

Presiden CMG Shen Haixiong berkata, media umpama jambatan yang menghubungkan rakyat dari negara berbeza untuk mengenali satu sama lain.

“Kami (CMG) ingin bersama agensi media asing untuk menginovasi model kerjasama dengan konotasi yang lebih mendalam membabitkan bidang lebih luas”, ujar beliau.

Pada majlis itu, video bersiri Classics Quoted by Xi Jinping dalam versi bahasa Thai dan bahasa Indonesia turut dilancarkan secara serentak, sempena lawatan Presiden Xi ke dua negara tersebut.

Diterbitkan bersama CMG dengan TVRI kendalian kerajaan Indonesia dan Nation TV milik Thailand, video enam episod itu menghimpunkan petikan daripada karya klasik yang digunakan Xi menerusi ucapan atau artikelnya.

Video berkenaan turut memaparkan renungan mendalam beliau terhadap budaya tradisional dan kebijaksanaannya dalam mentadbir negara.