Pembangunan, Kata Kunci Ucaptama Xi pada Sidang Kemuncak G20

2022-11-17 16:47:03  CRI
Share with:

Ucaptama Presiden China, Xi Jinping pada sidang kemuncak ke-17 Kumpulan 20 (G20) di Bali, Indonesia menunjukkan pendekatan baharu dalam memacu pemulihan ekonomi global.

Pembangunan, iaitu kata kunci dalam ucaptama Presiden Xi, turut disifatkan sebagai penggerak paling kritikal untuk mewujudkan pemulihan kukuh secara bersama.

Beliau menekankan perlunya menggerakkan pembangunan global ke arah lebih inklusif, membawa lebih banyak manfaat dikongsi bersama serta menjadi lebih berdaya tahan.

Menurut Xi, keselamatan makanan dan tenaga ialah cabaran paling mendesak bagi pembangunan global.

"Negara-negara membangun lebih terdedah kepada risiko keselamatan makanan dan tenaga.

"Anggota G20 harus menawarkan sokongan diperlukan kepada mereka dari segi pengeluaran, pembelian dan penyimpanan, modal, teknologi dan lain-lain,” kata beliau.

Sempena sidang kemuncak kali ini, Xi turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari lapan buah negara.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dengan Belanda, Australia dan Argentina, dan ulang tahun ke-30 ikatan diplomatik China-Korea Selatan.

Dalam pertemuan berkenaan, Xi dan pemimpin negara terbabit bersama-sama mengimbas kembali sejarah, berkongsi pengalaman dan merangka cetak biru untuk masa depan.

Semasa bertemu dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, Xi berkata sejarah tiga dekad lalu mencerminkan perkembangan hubungan dua hala yang sihat dan mantap bersesuaian dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara.

Beliau turut meluahkan kesediaan China untuk bersama Korea Selatan memelihara dan memperkukuh hubungan bilateral, sekali gus menyumbang kepada kestabilan serantau dan dunia.

Sementara itu, Yoon menyuarakan kehendak negaranya untuk memantapkan lagi hubungan dengan China berlandaskan prinsip saling hormat dan saling untung yang selarian dengan kepentingan bersama.

Ketika bertemu dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, Xi menyatakan bahawa China menyokong negara itu menyandang pengerusi bergilir BRICS bagi tahun depan.

Katanya, China bersedia memperkasa kerjasama dengan Afrika Selatan, meningkatkan penyelarasan dalam hal ehwal antarabangsa dan bersama-sama mengatasi cabaran global seperti perubahan iklim serta keselamatan makanan dan tenaga.

Ramaphosa pula berkata pihaknya berharap dapat memperhebat penyelarasan dan kolaborasi dengan China di bawah rangka kerja pelbagai hala termasuk BRICS.