Bina Hubungan China-Jepun Sesuai dengan Era Baharu: Xi

2022-11-18 09:10:31  CRI
Share with:

(Presiden China Xi Jinping bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Bangkok, Thailand pada 17 November 2022.)

Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa China bersedia bersama-sama pihak Jepun untuk memastikan hubungan kedua-dua negara menuju ke arah betul dari tahap strategik, dan membina hubungan dua hala yang sesuai dengan era baharu.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Bangkok, Thailand pada Khamis petang.

Xi mengatakan, China dan Jepun telah bersama-sama menyambut ulang tahun ke-50 penormalan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini. Dalam tempoh lima dekad lalu, kedua-dua pihak telah menandatangani empat dokumenn politik penting dan banyak konsensus penting. Di samping itu, pertukaran dan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang amat berhasil dan membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada keamanan, pembangunan dan kemakmuran serantau.

Beliau menegaskan bahawa China dan Jepun perlu menaati prinsip yang ditetapkan dalam empat dokumen politik tersebut, menyimpul pengalaman daripada sejarah, memandang pembangunan antara satu sama lain secara objektif, dan menterjemahkan konsensus politik kedua-dua negara adalah "rakan kerjasama, bukan ancaman" ke dalam dasar.

Sementara itu, menurut Xi, isu-isu penting seperti isu sejarah dan Taiwan berkait rapat dengan asas politik dan kepercayaan asas antara kedua-dua negara dan mesti ditangani dengan baik.

Fumio Kishida pula berkata, pertukaran dan kerjasama antara Jepun dengan China dalam pelbagai bidang sedang pulih dengan beransur-ansur. Sebagai jiran tetangga, Jepun dan China tidak saling menjadi ancaman, dan perlu hidup bersama secara damai.

Beliau menyatakan bahawa Jepun tidak boleh mencapai pembangunan dan kemakmuran tanpa China, dan begitu juga sebaliknya. Jepun mengalu-alukan China memberikan sumbangan positif kepada dunia melalui pembangunannya sendiri.

Kishida menyatakan, kerjasama antara Jepun dengan China berpotensi besar, kedua-dua negara memikul tanggungjawab besar bagi kedamaian dan kemakmuran serantau dan sejagat. Jepun bersedia berusaha bersama-sama China untuk mewujudkan pembangunan hubungan yang sihat dan stabil.

Beliau menegaskan bahawa komitmen Jepun membabitkan isu Taiwan sepertimana yang termaktub dalam kenyataan bersama kedua-dua negara, tidak akan berubah.

Kishida turut menyatakan kesediaannya untuk meningkatkan dialog dan komunikasi dengan China untuk memastikan hubungan kedua-dua negara menuju ke arah yang betul.