Satelit Infrastruktur Angkasa Lepas China di Orbit Kini Lebih 300 Buah

2022-11-22 12:39:18  CRI
Share with:

Satelit China dalam bidang infrastruktur angkasa lepas yang sedang beroperasi secara stabil di orbit kini dicatatkan sebanyak lebih 300 buah, sekali gus menduduki tangga kedua di dunia.  

Demikian maklumat dari Bengkel Perkongsian Global mengenai Penerokaan dan Inovasi Angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan China ke-2 anjuran bersama Jabatan Pentadbiran Angkasa Lepas China (CNSA), kerajaan provinsi Hainan dan Pejabat PBB untuk Urusan Angkasa Luar (UNOOSA) yang dirasmikan di Haikou, provinsi Hainan pada Isnin.

China telah membentuk sistem infrastruktur angkasa lepas kebangsaan angkasa-Bumi yang berteraskan teknologi satelit komunikasi, pandu arah dan penderiaan jauh yang turut melakar pencapaian penting dalam bidang terbabit.

Menurut Pengarah Pusat Sistem Pemerhatian Bumi dan Data CNSA, Zhao Jian, jumlah satelit China dalam bidang penderiaan jauh yang sedang mengorbit Bumi pula telah mencatat 200 buah lebih, sekali gus menjadikan China antara beberapa negara peneraju dalam bidang tersebut di dunia.

"CNSA melancarkan secara rasmi platform perkhidmatan data dan aplikasi penderiaan jauh kebangsaan untuk menggalakkan pembinaan dan penggunaan bersama serta perkongsian sumber data satelit penderiaan jauh," kata Zhao.

Untuk rekod, platform tersebut menghimpunkan sumber data dari lebih 30 buah satelit yang meliputi satelit resolusi tinggi, satelit penyelidikan saintifik aeroangkasa sivil, satelit kerjasama antarabangsa, satelit meteorologi dan satelit lautan.

Turut difahamkan ia juga digunakan untuk berkongsi produk maklumat seluruh negara dalam tempoh sedekad dan sebanyak lebih sepuluh ribu hasil penyelidikan termasuk platform edisi antarabangsa terbuka kepada negara lain.

Menurut Zhao, 70 peratus negara dan wilayah yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) agak berkurangan dalam bidang sumber data dan amat memerlukan sokongan berkenaan.

"Dengan adanya infrastruktur angkasa lepas China yang moden, data imej di serata dunia dapat diperoleh secara mudah dengan satelit-satelit yang mengorbit Bumi.

"Data angkasa lepas tersebut dapat digunakan untuk membantu pembangunan negara dan wilayah yang terlibat dalam BRI," kata beliau.