COP27 Beri Isyarat Positif Tangani Perubahan Iklim

2022-11-22 13:06:29  CRI
Share with:

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjaya mencapai pakej hasil yang seimbang secara relatifnya, sekali gus memberi isyarat positif untuk menegakkan multilateralisme dan bersinergi mengukuhkan gerak balas bagi menangani cabaran perubahan iklim.

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar Mao Ning dalam sesi taklimat apabila mengulas tentang Persidangan ke-27 Pihak-Pihak Pemeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC), atau COP27 yang melabuhkan tirainya di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Ahad.

Mao menyifatkan keberhasilan COP27 adalah kondusif untuk memastikan Perjanjian Paris dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif.

Beliau turut memuji keputusan persidangan itu untuk menubuhkan dana kerugian dan kerosakan bagi menangani keperluan mendesak negara-negara membangun.

"China akan terus terlibat secara aktif dalam tadbir urus iklim global, menyumbang kepada pembinaan sistem tadbir urus iklim sejagat yang adil dan saksama serta berlandaskan kerjasama menang-menang, di samping mewujudkan komuniti berkongsi nasib membabitkan manusia dan alam," kata beliau.