Kota Janji, Kunci Selamatkan 'Planet dalam Bilik Kecemasan'

2022-11-22 13:54:48  CRI
Share with:

Persidangan ke-27 Pihak-Pihak Pemeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC), atau COP27 berakhir di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Ahad, menyaksikan kelulusan lebih sepuluh resolusi.

Antara hasil utama yang mencuri perhatian ramai ialah persetujuan untuk menubuhkan dana kerugian dan kerosakan dengan tujuan membantu negara membangun dan negara rentan menangani kesan perubahan iklim.

Pencapaian itu dilihat bukanlah mudah untuk diperolehi, dan merupakan tindak balas kepada tuntutan negara membangun, sekali gus dorongan positif kepada proses global menangani perubahan iklim.

Selaku negara membangun terbesar, China merupakan aktivis dan pelaksana dalam isu iklim.

Pada 2021, pelepasan karbon dioksida seunit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China menurun sebanyak kira-kira 34.4 peratus berbanding 2012, bersamaan dengan pengurangan pelepasan 3.7 bilion tan karbon dioksida.

Selain itu, pelaburan kumulatif China dalam tenaga boleh diperbaharui mencecah AS$380 bilion, menduduki tempat pertama di dunia.

Sepanjang COP27, delegasi China mengambil bahagian secara komprehensif dan mendalam dalam perundingan mengenai hampir seratus topik, dengan tegas menjaga kepentingan bersama negara membangun, dan membuat sumbangan penting ke arah mencapai pakej hasil positif.

Selain mengotakan janji untuk mengurangkan pelepasan secara berlebihan menjelang 2020, wakil China turut mengetengahkan visi baharu iaitu mencapai puncak pelepasan karbon dioksida menjelang 2030 dan neutraliti karbon sebelum 2060.

Seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada sidang berkenaan, “Planet kita masih berada dalam bilik kecemasan”.

Kenyataan itu perlu direnungkan dengan mendalam. Perjanjian Paris bukan sekadar 'perjanjian atas kertas', sedangkan ia memerlukan tindakan.

Tindakan iklim masih menghadapi banyak cabaran, dan masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan selanjutnya. Antara yang menjadi kunci ialah negara maju mesti menepati janji dan melaksanakan komitmen mereka.