AS Digesa Hormati Kepentingan Teras China

2022-11-23 12:43:11  CRI
Share with:

China menyifatkan hubungan ketenteraannya dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai penting, dan menggesa agar AS untuk menghormati kepentingan teras China.

Demikian ujar Menteri Pertahanan, Jeneral Wei Fenghe ketika mengadakan rundingan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dalam tempoh berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS, Joe Biden mengadakan rundingan pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) ke-17 dan mencapai siri konsensus penting bagi menggariskan hala tuju perkembangan hubungan kedua-dua negara.

"Pihak yang bertanggungjawab terhadap keadaan ketika ini dalam hubungan China-AS adalah terletak pada AS dan bukan China kerana AS menimbulkan persepsi yang salah dari segi strategi.

"China bersikap ikhlas terhadap perkembangan hubungan antara kedua-dua negara dan ketenteraan kedua-dua pihak.

"Namun, prasyaratnya adalah AS perlu mengotakan janji sendiri, bersungguh-sungguh melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, dan mengamalkan dasar yang rasional dan substantif terhadap China untuk menghapuskan penyebab yang mengakibatkan krisis bagi mendorong hubungan bilateral kembali ke landasan yang sihat dan mantap," kata Wei.

Dalam rundingan itu, beliau juga menegaskan pendirian teguh China dalam isu Taiwan.

"Isu Taiwan yang merupakan teras utama kepentingan China disifatkan sebagai garis merah pertama yang tidak boleh direntasi dalam hubungan China-AS.

"Taiwan berada di dalam China, manakala penyelesaian isu Taiwan adalah urusan rakyat China, dan sebarang kuasa luar tidak berhak untuk campur tangan.

"Angkatan tentera China mempunyai semangat, keazaman, keyakinan dan keupayaan untuk memelihara dengan tegas penyatuan semula negara," jelas Wei.

Kedua-dua pihak bersepakat untuk melaksanakan dengan bersungguh-sungguh konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengekalkan komunikasi, mempergiat usaha bagi menyelesaikan pertentangan dan perselisihan, mengawal krisis, di samping memelihara kestabilan hubungan tentera kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi antarabangsa dan serantau yang meliputi krisis Ukraine, Laut China Selatan dan isu Semenanjung Korea.