Masalah Senjata Api Sakiti Hati Nurani Si Politikus

2022-11-24 15:40:03  CRI
Share with:

Rentetan tragedi berdarah sekali lagi menghantui masyarakat Amerika Syarikat (AS), mutakhir ini. 

Insiden tembakan yang berlaku di sebuah pasaraya Walmart di Chesapeake, Virginia pada Selasa telah meragut nyawa beberapa mangsa. 

Tiga hari sebelumnya, lima orang terbunuh dan 25 lagi dilaporkan cedera dalam kejadian serupa di sebuah kelab malam di Colorado.

Pilihan raya separuh penggal AS baru tamat, menyaksikan isu keganasan membabitkan penggunaan senjata api menjadi tumpuan ramai.

Presiden Joe Biden berkata ‘epidemik’ keganasan senjata api mesti diselesaikan. Namun ternyata bahawa ‘epidemik ala AS’ itu menjadi semakin parah apabila kedengaran bunyi tembakan yang tidak putus-putusnya.

Menurut laman sesawang 'Arkib Keganasan Senjata' AS, lebih 39,000 orang diragut nyawa akibat kejadian keganasan seumpama di negara itu setakat 21 November.

Pada Jun, Biden menandatangani rang undang-undang (RUU) kawalan senjata 'versi kompromi dwipartisan'. 

Sebulan selepas itu, Rumah Putih mengumumkan akan memperkenalkan pelan ‘Safer America’ membabitkan peruntukan sebanyak AS$13 bilion (RM58.67 bilion) untuk merekrut dan melatih seramai 100,000 pegawai polis tambahan dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Namun begitu, ketika mempertimbangkan tindakan balas, pembuat dasar tidak berani menyentuh punca masalah berkenaan yang sudah sekian lama berakar umbi, seperti undang-undang kawalan senjata api yang sangat longgar, pelobian oleh kumpulan berkepentingan dan lain-lain.

Hak kehidupan merupakan hak asasi paling penting. Sama ada keganasan senjata api dapat dibendung dengan efektif adalah kayu ukur utama untuk masyarakat antarabangsa menilai keadaan hak asasi di AS. 

Jika ingin membebaskan negara itu daripada mimpi ngeri yang dibawakan masalah senjata api, si politikus sepatutnya mencari pendekatan sebenar untuk menyelesaikannya secara tuntas.