Xi Adakan Rundingan dengan Presiden Cuba

2022-11-25 17:08:27  CRI
Share with:

China komited terus memperdalam kesalingpercayaan politik dan memperluas kerjasama pragmatik dengan Cuba.

Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Cuba, Miguel Diaz-Canel Bermudez di Beijing hari ini.

Beliau juga menzahirkan komitmen China untuk memberi sokongan kukuh terhadap isu-isu berkaitan kepentingan teras satu sama lain, memperkasa sinergi dalam urusan antarabangsa dan serantau, dan berganding bahu untuk memajukan pembangunan sosialisme bercirikan sendiri.

Xi turut memberikan penekanan bahawa kedua-dua pihak perlu mempergiat kerjasama strategik dan bersinergi untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.

Kata beliau, China akan terus memberi sokongan teguh kepada usaha Cuba dalam mempertahankan kedaulatan negara, serta menentang campur tangan dan sekatan kuasa asing.

China bersedia bersinergi dengan Cuba dalam melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Keselamatan Global (GSI) bagi menggalakkan kedamaian dan pembangunan dunia.

Beliau juga meluahkan hasrat China untuk bersama negara-negara Amerika Latin dan Caribbean memperkasa pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memantapkan perkongsian kerjasama komprehensif China-Amerika Latin yang sama rata, saling untung dan maju bersama.

Diaz-Canel merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan Presiden Xi yang menjadikannya pemimpin negara Amerika Latin pertama melawat China selepas Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC).

Beliau menyatakan tatkala mendepani situasi politik dan ekonomi yang kompleks, Cuba akan menjadikan China sebagai teladan untuk merungkai pelbagai cabaran dan merealisasikan matlamat pembangunan sosialisme.

Tegas beliau, Cuba memberi keutamaan terhadap perkembangan hubungan dengan China.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk mempertahankan dasar satu China, sambil menzahirkan sokongan kepada pembangunan berkualiti BRI, serta GDI dan GSI.

Tambah beliau, Cuba bersedia memperkasa penyelarasan dan sinergi dengan China dalam mekanisme multilateral serantau dan antarabangsa termasuk Forum Amerika Latin-China dan ‘Kumpulan 77 + China’, demi memantapkan hubungan antara negara Amerika Latin dengan China dan menyumbang kepada pemeliharaan kepentingan bersama negara membangun.